Friday, 31 March 2017

REFLEKSI TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN






Dalam menongkah arus pemodenan yang kian tumbuh bak cendawan tumbuh selepas hujan ini setiap guru perlu menyediakan diri dengan multi tasking. Antaranya ialah kebolehan dalam menggunakan teknologi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Setelah meneliti serta menghayati apa yang dimaksudkan dengan teknologi maklumat dan komunikasi maka dapatlah saya fahami betapa pentingnya perkara ini diwujudkan dalam sesebuah kelompok komuniti atau masyarakat untuk memastikan  kemajuan serta pembangunan komuniti itu tidak ketinggalan jauh dari masyarakat lain.



          Dalam usaha untuk merealisasi objektif dan falsafah pendidikan negara ke arah masyarakat berteknologi dan bermaklumat, terutama sekali yang berteraskan penggunaan teknologi  maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, saya dapati ianya amat berguna sebagai salah satu alat bagi memperoleh banyak maklumat untuk diketengahkan kepada pelajar-pelajar.




          Para pelajar juga sudah tentunya  menunjukkan minat yang tinggi dan melibatkan diri secara aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Di sinilah kemuncak penggunaan teknologi maklumat yang amat besar sekali. Ini kerana alat-alat ini bukan sahaja digunakan sebagai alat memotivasikan pelajar untuk terus memberi tumpuan terhadap pengajaran guru tetapi juga untuk memastikan pelajar mendapat bahan-bahan yang berkaitan secukupnya.




          Mengintergrasi teknologi maklumat berdasarkan daripada kategori murid-murid ataupun stail pembelajaran dan tahap keselesaan belajar murid-murid dapat membantu saya merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran murid-murid dalam bilik kelas dengan berkesan. Peningkatan mutu dan mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia di samping bahan pengajaran yang sedia ada adalah peranan penting Teknologi maklumat dan  komunikasi.   




          Sesungguhnya, hasil daripada penelitian dan pemahaman saya tentang satu lagi proses pengajaran dan pembelajaran yang berbantukan internet maka dapatlah saya fahami bahawa penglibatan pelajar secara holistic dalam bilik kelas  adalah menjadi fokus utama. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran  cara ini murid-murid adalah pembuat perancangan dan menentukan kesesuaian bahan dalam teknologi bergantung kepada tahap mereka.




          Walaupun saya dapati bahawa penggunaan teknologi maklumat jenis ini amat menguntungkan para pelajar dan guru namun cabaran dalam melaksanakannya terutama sekali peringkat mengakses adalah masalah utama di Malaysia. Apa pun cabarannya, saya akui bahawa pembelajaran menggunakan teknologi amat membantu  dalam penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran.




          Antara sumber-sumber yang saya boleh kenal pasti untuk dimanfaatkan ialah bahan-bahan percuma dari internet, bahan yang dihasilkan oleh Kementerian Pelajaran  Malaysia dengan kerjasama konsortium tempatan, bahan-bahan yang dihasilkan oleh sektor swasta dan CD-ROM yang dihasilkan oleh bahagian Teknologi Pendidikan.  




          Dengan adanya talian terus melalui media elektronik seperti persidangan video, program langsung dari televisyen, maka saya dapat bertukar-tukar maklumat dan pendapat tentang bahan-bahan pengajaran pembelajaran Pendidikan Islam  dari rakan-rakan sekolah lain. Begitulah juga pelajar-pelajar saya yang masih dahagakan pelbagai bahan berkaitan aktiviti yang tidak terdapat di sekolah saya.




         Di samping itu dengan bertukar maklumat seperti ini  akan menjurus kepada penglibatan yang maksimum daripada pelajar saya. Saya pula tidaklah membazir terlalu banyak masa dengan memberi arahan, membuat teguran  serta mengawal tingkah laku segelintir pelajar.


        Kesimpulannya, Teknologi Maklumat dan Komunikasi adalah amat berguna kepada saya sebagai alat bantu mengajar di dalam bilik kelas. Saya juga cadangkan agar lebih banyak program-program atau kursus-kursus berkaitan teknologi maklumat perlu ditawarkan agar guru seperti saya dapat mempertingkatkan kemahiran menggunakan komputer serta mengendalikan perisian yang pelbagai yang semakin hari semakin bertambah jumlahnya dan semakin canggih dan mantap.

Summer:http://marinamauladmarsaledu3053.weebly.com/unit-1--teknologi-dalam-pendidikan.html

No comments:

Post a Comment

Calaraya 2016 by CalaQisya