Merupakan Aplikasi Terbaik Bagi Menjalankan Aktiviti Pemasaran
Media sosial merupakan aplikasi internet yang terbaik untuk digunakan oleh usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana bagi menjalankan aktiviti pemasaran. Media sosial mampu mengecilkan serta menutup jurang di antara strategi yang telah dirancang dan perlaksanaan strategi yang akan dilaksanakan (Kim & Ko, 2012). Pemasaran secara atas talian menggunakan aplikasi media sosial mampu menyediakan satu platform baru dan baik kepada usahawan terutama di dalam bidang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ini. Chung et. al. (2010) menyatakan dalam kajian mereka, media sosial merupakan jaringan maya yang disediakan kepada pengguna untuk menyatakan pendapat, bertukar buah fikiran, dan dapat menghantar serta mengawal mesej yang akan disampaikan di mana jua pada bila-bila masa. Media sosial juga mempunyai peranan yang sangat penting terhadap organisasi, kumpulan individu untuk berhubung khususnya. Di sesebuah organisasi, terdapat tiga peringkat pentadbiran iaitu peringkat strategik, pertengahan dan operasi (Laudon& Laudon, 2010). Peranan media sosial menjadikan perhubungan di antara peringkat pentadbiran ini dapat ditadbir dan diuruskan dengan lebih mudah. Maklumat dari peringkat strategik hingga ke peringkat operasi dapat disampaikan dengan lebih mudah dan cepat tanpa melibatkan penggunaan masa dan kos yang banyak. Komponen hibrid yang diutarakan oleh Junco (2010), menerusi model komunikasi pemasaran berintegrasi merupakan komponen dalaman organisasi yang penting pada masa ini. .Lim (2011) dalam kajian yang dijalankan mengatakan terdapat dua kaedah untuk memastikan kebolehlihatan sesuatu laman web di dunia siber, pertama adalah disebabkan berapa banyak bilangan capaian laman web luaran yang berpaut terhadap laman web tersebut Manakala kaedah kedua adalah dari aspek nilai sesebuah objek, isu dan kumpulan pengguna yang bertindak sebagai agen kepada kebolehlihatan tersebut. Ini secara tidak langsung akan menjadikan laman web atau laman media sosial itu lebih menonjol dan terserlah di kalangan kumpulan pengguna sendiri secara khusus mahu pun pengguna biasa. Pernyataan ini disokong oleh Hernandez (2009) yang menyatakan strategi utama untuk berjaya dan lebih terkehadapan adalah berdasarkan kualiti maklumat, kualiti sistem dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan menerusi platfom ini. Oleh itu, faktor tersebut memberi impak yang besar kepada usahawan melalui penggunaan aplikasi media sosial sebagai alat pemasaran yang kompetetif.
Platfom Pembinaan Laman Bisnes
Pembinaan laman bisnes merupakan elemen yang pertama yang perlu dilaksanakan oleh usahawan IKS khususnya bagi memulakan perniagaan menggunakan medium media sosial ini. Elemen ini merupakan inisiatif syarikat IKS sebagai langkah pertama untuk memasuki komuniti pengguna internet. Terdapat beberapa perkara penting yang perlu dititik beratkan semasa mendaftarkan laman bisnes. Antara perkara tersebut adalah maklumat asas syarikat. Maklumat asas ini termasuklah berkenaan nama, logo, alamat dan latar belakang syarikat yang perlu jelas dinyatakan. Ini adalah penting bagi memastikan maklumat perniagaan dapat disampaikan kepada pelanggan khususnya berkenaan perniagaan yang dijalankan.Pernyataan disokong oleh Colliander (2011) yang menyatakan pengguna internet mencari maklumat dan berkomunikasi menggunakan media sosial yang menyediakan sebuah platform komunikasi yang lebih dinamik secara dua hala. Pengguna internet pada masa kini lebih bertindak secara pantas semasa mencari maklumat produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Maklumat yang mudah difahami dan baik berkenaan sesebuah syarikat mampu menarik perhatian yang lebih pengguna internet khususnya untuk mencapai laman bisnes yang dibangunkan. Menurut Naslund (2010) dan Shepherd (2011), maklumat asas berkenaan syarikat ini mampu memandu sesebuah organisasi untuk mencapai misi dan visi syarikat dengan lebih konsisten dimana ia akan memimpin pengguna internet khususnya pengguna media sosial memahami hasrat dan tujuan syarikat ini dibangunkan. Pengguna akan mendapat maklumat yang tepat tentang fungsi dan bentuk peniagaan yang dijalankan
No comments:
Post a Comment